BAU, 15 MEI 2025 - YAB Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Johari Tun Openg telah merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-205 Daerah Bau, Pesta Tasik Biru 2025 dan Pelancaran Tasik Biru Resort City pagi ini.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyatakan keyakinan Kerajaan Sarawak untuk mencalonkan Daerah Bau sebagai Tapak Geopark Global UNESCO dalam tempoh dua tahun akan datang, sambil menekankan bahawa usaha sedang giat dijalankan bagi memperkukuh nilai aset geologi sedia ada di Bau, yang kini telah diiktiraf sebagai Taman Geo Kebangsaan (National Geopark). Menurutnya, "Bau sekarang adalah sebahagian daripada National Geopark. Dalam masa dua tahun, kita ingin menyenaraikan taman geo kebangsaan ini sebagai Tapak UNESCO. Sekarang kita sedang membuat persiapan, yang bermakna Bau akan berada dalam peta antarabangsa UNESCO."
Majlis yang dihadiri oleh ribuan pengunjung ini turut menyaksikan YAB Premier menekankan pentingnya keseimbangan antara pembangunan infrastruktur dan pembangunan modal insan, khususnya dalam kalangan generasi muda daerah Bau sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan mampan. YAB Premier turut mendedahkan bahawa Sarawak kini menjana pendapatan melebihi RM15 bilion setahun hasil daripada kerja keras, perpaduan rakyat, serta pentadbiran yang cekap. "Sebagai ketua, saya akan mempertahankan hak yang ada pada Sarawak. Sarawak maju, pendapatan lebih RM15 bilion setahun sebab kita kerja kuat, rakyat bersatu, dan politik perlu betul," katanya.
Dengan pelancaran Tasik Biru Resort City ini, Kerajaan Sarawak memperlihatkan komitmen berterusan dalam memajukan industri pelancongan berasaskan keunikan alam semula jadi dan warisan budaya, sekaligus membuka lembaran baharu dalam sejarah pembangunan Daerah Bau yang kaya dengan potensi pelancongan dan sumber semula jadi.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YB Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah (Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak), YB Dato Henry Harry Jinep (Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak - Sungai dan Laut), serta beberapa pemimpin tempatan dan usahawan ternama.